Apakah Yang Kau Lakukan Itu Sia-Sia?

Date June 11, 2007

sea1.jpgPagi itu seorang anak kecil tiba-tiba terjaga dari tidurnya. Hari masih dingin. Di suatu sudut bilik, dia dapat melihat datuknya bersila kemas sambil memegang sebuah kitab. Suaranya mendayu-dayu, menusuk kalbu. Bibirnya melagukan butir kata yang tidak difahami.

Begitulah setiap hari. Bukan sahaja pada pagi-pagi begini malah kadang-kadang petang bahkan malam, datuknya akan membaca kitab tersebut dengan begitu kusyuk. Suaranya menyejukkan hati. Malangnya tiada sebutir pun perkataan yang disebut lelaki tua itu dapat difahami oleh anak kecil tadi.

Dalam hatinya anak kecil itu tertanya-tanya, istemewa sangatkah kitab itu? Lalu apabila datuknya pergi ke kebun, dia mengambil kitab tersebut dan cuba membacanya, tetapi tiada satu pun yang difahaminya.

Matahari sudah meninggi, dan sebaik sahaja datuknya pulang dari berkebun, anak kecil itu bertanya; “Tuk… apa faedahnya kita baca kitab yang kita tak faham tuk?”

“Kitab apa yang cu cakapkan, ni?” tanya si datuk yang terkejut mendengar pertanyaan itu.

“Kitab yang atuk selalu baca tu, lah…” jawab anak kecil tadi. Katanya, dia tidak dapat memahami apa yang terkandung dalam kitab yang selalu dibaca datuknya itu.

Lelaki tua itu mengangguk, kemudian tersenyum. Dia tidak menjawab pertanyaan cucunya tadi, sebaliknya menghulurkan raga rotan yang yang baru digunakan untuk mengisi tanah dan hasil tanaman. “Penuhkan air dalam raga ni,” kata lelaki tua.

“Kenapa pulak tuk? Saya tanya pasal kitab, tapi atuk suruh saya isi air dalam bakul pulak…” soal si anak kecil tadi.

Lelaki tua tersenyum lagi dan mengarahkan cucu kesayangannya itu cepat pergi ke sungai. Tanpa membuang masa anak kecil itu berlari membawa raga ke sebatang sungai yang terletak 50 meter dari rumah mereka. Dia mencedok beberapa kali. Malangnya, air dalam raga itu tumpah dalam beberapa saat sahaja.

Apabila cucunya pulang dengan membawa raga yang kosong, lelaki itu ketawa. “Kau patut angkut air itu dengan lebih cepat,” kata lelaki tua.

Cucunya mencuba sekali lagi. Kali ini anak kecil itu mengambil air dengan lebih pantas dan berlari dengan lajunya. Tapi hasilnya tetap menghampakan. Anak kecil itu memberitahu datuknya bahawa mustahil untuk mendapatkan air menggunakan raga yang dipenuhi lubang. Lalu anak kecil itu pergi mencari sebuah timba.

“Atuk nak air dalam raga, bukan dalam timba. Cuba lagi. Kau perlu lebih bersungguh-sungguh,” arah lelaki tua.

Walaupun anak kecil itu sedar bahawa usahanya tidak mendatangkan apa-apa tetapi diturutkannya juga untuk membuktikan kepada datuknya bahawa meskipun dia telah berusaha sedaya upaya, air tetap tumpah dalam tempoh beberapa detik sahaja.

Seperti sebelum ini, dia pulang dengan raga yang kosong. Anak kecil itu mengeluh. Di wajahnya tergambar perasaan hampa.

“Jadi kau fikir ini sia-sia?” tanya datuknya.

Anak kecil itu mengangguk. Ya…sia-sia dan membuang masa.

“Cuba tengok raga ni betul-betul,” jari telunjuk lelaki tua dihalakan ke arah raga yang telah dicampak ke tanah.

Anak kecil itu memandang raga tersebut. Diamatinya dengan teliti. Ketika itu barulah dia perasan raga tersebut telah bertukar rupa. Ia sangat kotor sewaktu mula-mula digunakannya, tetapi sekarang tidak lagi. Tiada lagi palitan tanah kotor dan lumut pada raga itu. Bukan sahaja pada bahagian dalam tapi di luarnya juga. Raga itu kelihatan seolah-olah masih baru kerana telah dibersihkan oleh air sungai!

“Adakah yang kau lakukan tadi sia-sia?” tanya lelaki tua menyebabkan cucunya terdiam.

“Cu… kita mungkin tak faham, tapi bila kita amalkan, kita akan alami perubahannya,” sambung lelaki tua sambil menarik cucunya, kemudian meletakkan kitab yang selalu dibacanya itu ke telapak tangan anak kecil tersebut. Ia adalah kitab suci al-Quran.

Wassalam. Jumpa lagi. Adioss….

-JimieRay-

P.S - Ingin memiliki Blog Dot Com sendiri, sila klik pada banner di bawah untuk maklumat selanjutnya….

Banner

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • scuttle
  • YahooMyWeb
  • Ma.gnolia
  • TailRank
  • Furl
  • digg
  • del.icio.us
  • Smarking
  • De.lirio.us
  • connotea
  • NewsVine
  • LinkaGoGo
  • Fark
  • feedmelinks

3 Responses to “Apakah Yang Kau Lakukan Itu Sia-Sia?”

  1. Jebat said:

    Seronok baca cerita nie. Ada yang tersirat di balik yang tersurat :-) . Anak-anak kecil susah sikit untuk beri mereka faham. Namun jika kita pandai mencari jalan untuk mengajar, insyaallah mereka akan cepat faham.

  2. Leeza said:

    Memang susah nak buat anak-anak kita paham … dari pengalaman selalunya saya akan terkedu dengan pertanyaan demi pertanyaan daripada mereka … dah expalain nih .. tanya lagi tapi pasal explaination yg telah kita buat plak .. pening2.

  3. Badruzamani Bin Azmi said:

    Satu cerita yang menarik untuk terus membaca.

    p/s - Orang tua banyak pengalaman dan pengetahuan. Tapi, sayang jika kita tidak mendampingi mereka semasa hidup dan apabila mereka sudah tiada, wujud kekesalan dalam diri. :( Teringat arwah tok wan.

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>